Latar Belakang Daerah Kuala Terengganu Cetak
Oleh Administrator   
Rabu, 18 April 2012 10:11

Menurut catatan sejarah, sistem pentadbiran daerah yang diterajui oleh Pegawai Daerah bermula setelah kemasukan Inggeris di Terengganu pada zaman pemerintahan Sultan Badrul Alam Shah (1920-1942). Pada ketika itu, Terengganu telah dibahagikan kepada tiga jajahan utama yang berpusat di Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut. Setiap jajahan ditadbir oleh seorang Pesuruhjaya dengan dibantu oleh Penolong Penasihat British dan Pegawai Daerah yang bertanggungjawab kepada daerah-daerah kecil dalam Jajahan. Sebelum ini pentadbiran daerah diterajui oleh Pembesar Daerah yang dilantik oleh Tuanku Al Sultan dan pernah dipinda sekali oleh Sultan Baginda Omar dengan memperkenalkan konsep pentadbiran daerah yang diterajui oleh Penghulu.

Jawatan Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang secara tradisinya dipegang oleh Pegawai Inggeris sehinggalah pada tahun 1955, di mana anak Melayu pertama bernama Che Mohd Yusof Bin Haji Ahmad dilantik untuk memegang jawatan tersebut. Menurut catatan sejarah, bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu (PDTKTR) mulanya terletakdi Padang Paya Bunga (sekarang tapak Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) pada tahun 1947, berkongsi dengan Pejabat Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Serta berhampiran dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Selepas itu PDTKTR telah beberapa kali berpindah tempat sehinggalah ke pejabat terkini di Kompleks Seri Iman yang mula beroperasi pada 1 Ogos 1998.

Daerah Kuala Terengganu mempunyai keluasan 60,528.10 ha yang bersempadan dengan Daerah Marang di selatan, Setiu di utara, Hulu Terengganu di barat dan Laut Cina Selatan di Timur. Kuala Terengganu mempunyai penduduk seramai 351,000 orang (UPEN, 2007) dengan orang Melayu merupakan komposisi terbesar iaitu 95% daripada jumlah penduduk.

Pentadbiran Daerah dan Tanah Kuala Terengganu merangkumi 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 5 kawasan Parlimen. Ianya di pecah bahagi kepada 24 Mukim pentadbiran. Dari aspek hakmilik tanah Kuala Terengganu mempunyai 114,404 hakmilik tanah (2008) dengan kutipan jumlah hasil tanah yang mencecah RM9 juta setahun.

 

DiKemaskini Pada Rabu, 12 Februari 2014 11:52
Jumlah Capaian Ke Laman ini :6144 kali.